Jumaat, Oktober 23, 2009

Al-Fatihah

Disini ingin saya memaklumkan bahawa abg ipar isteri saya Siti Norhuda Md Ali a.k.a biras saya telah meninggal dunia semalam. Berikut adalah slot berita di akhbar Berita Harian m/s 40 seksyen Nasional dan akhbar Harian Metro seksyen Setempat, hari ini. Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Amin.


Penyunting HM meninggal

KAMPUNG GAJAH: “Arwah tidak lalu makan dan sesekali meminta buah-buahan untuk mengisi perut sejak semalam (kelmarin). Beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah langsung tidak bercakap dan hanya mengelip mata tanda faham percakapan saya.

“Sejurus selepas itu, beliau berdiam diri dan apabila diperiksa, doktor mengesahkan beliau sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Norifidah Md Ali, 32.

Suaminya, Mazlan Hassan, 39, penyunting Harian Metro di Kuala Lumpur, meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi semalam di Hospital Teluk Intan (HTI) selepas tiga tahun menderita penyakit barah usus.

Allahyarham yang pernah bertugas sebagai wartawan Harian Metro di negeri ini, meninggalkan seorang balu dan dua anak iaitu Nur Fatin Alia, 10, dan Nur Fatin Aina, 5.



Norifidah berkata, arwah bertarung dengan penyakit itu sejak tiga tahun lalu dan pernah beberapa kali menjalani pembedahan termasuk di Hospital Pakar Ipoh, HTI dan Hospital Kuala Lumpur.


Katanya, arwah terpaksa mengambil cuti panjang untuk menetap di rumah keluarga di Balun Bidai, Kampung Gajah.

“Selasa lalu, arwah mengadu sakit dan saya terus membawanya ke wad kecemasan HTI sebelum dimasukkan ke wad 1A bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Saya sedih arwah meninggalkan kami begitu awal tetapi reda dan menerima takdir ini,” katanya.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Changkat Rambai, petang semalam.

Turut menziarahi jenazah, Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad Salim Bachok; Ketua Pengarang Berita Harian Metro, Othman Mamat; Ketua Penyunting Harian Metro, Yaacob A Rahim; Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia NSTP, Abdul Shukor Alidan serta rakan setugas arwah di Kuala Lumpur.

Sementara itu, bapa arwah, Hassan Asnawi, 62, berkata Mazlan, anak sulung daripada lima beradik seorang yang taat kepada ibu bapa dan sangat menyayangi keluarga.

“Dia tidak meninggalkan sebarang wasiat cuma kerap menyatakan tiada selera hendak makan selepas Aidilfitri lalu.

“Arwah menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan isteri dan ibunya (Halimah Zaini, 59).

“Kehilangannya meninggalkan kesan kepada kami sekeluarga tapi sebagai umat Islam kami reda dengan takdir itu,” katanya.

Tiada ulasan: